Isnin, 10 Disember 2012

MENGENALI MAQASID AL-SYARI’AH


1. Pernah seorang pengawas peperiksaan di universiti melarang seorang siswa daripada menduduki peperiksaan akhir semester kerana tidak membawa kad matrik. Kemudian siswa tadi merujuk kepada pensyarah subjek berkenaan yang menjadi ketua pengawas, lalu diarahkan kepada pengawas pertama tadi untuk membenarkannya menduduki peperiksaan walaupun tanpa kad matrik.   

2. Peraturan peperiksaan di universiti memang termaktub begitu. Pengawas bertanggungjawab untuk melaksanakan peraturan. Adapun dalam kisah tadi, ketua pengawas yang merupakan pensyarah subjek berkenaan mengenali siswa yang tidak membawa kad matrik sebagai anak muridnya. Pensyarah ini memahami bahawa tujuan peraturan yang mewajibkan setiap siswa/wi membawa kad matrik ketika peperiksaan adalah untuk pengesahan. Ia dikuatkuasakan kerana kebanyakan pengawas peperiksaan adalah kakitangan universiti yang tidak mengenali siswa/wi bagi mengelakkan penipuan. Namun bagi pensyarah yang mengenali anak muridnya tidak terikat dengan teks peraturan kerana objektifnya iaitu pengesahan telah tercapai.

3. Hal seumpama ini juga berlaku ketika menanggapi teks-teks syara’ daripada al-Qur’an atau al-Sunnah. Ada yang terikat dengan teks semata-mata dan ada yang melihat kepada tujuan sesuatu perintah atau larangan. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa nabi SAW bersabda ketika pulang dari peperangan al-Ahzab bermaksud:

Jangan seseorang solat Asar melainkan di (perkampungan) Bani Quraidzoh. (Riwayat al-Bukhari)

4. Ketika sebahagian para sahabat masih dalam perjalanan, masuk waktu Asar. Lalu sebahagian mereka tetap meneruskan perjalanan kerana zahir hadith menunjukkan bahawa nabi SAW tidak membenarkan mereka solat Asar melainkan di perkampungan Bani Quraidzoh. Manakala sebahagian yang lain pula solat asar dalam perjalanan walaupun belum tiba di perkampungan Bani Quraidzoh kerana waktu Asar telah masuk. Mereka memahami bahawa arahan nabi SAW tadi mempunyai tujuan disebaliknya iaitu agar para sahabat bersegera dan tidak berlengah-lengah dalam perjalanan. Apabila mereka sampaikan perkara itu kepada Rasulullah SAW, kedua-dua kumpulan ini tidak dibantah oleh nabi SAW.

5. Berdasarkan kejadian ini, bukan sesuatu yang pelik jika terdapat umat Islam yang hanya melihat kepada zahir teks syara’ semata-mata dan mengabaikan tujuan atau objektifnya. Di satu pihak yang lain pula umat Islam yang hanya melihat kepada tujuan sesuatu perintah sahaja sehingga meninggalkan terus zahir teks syara’. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula menyatakan di antara kedua-dua kumpulan ini, terdapat kumpulan ketiga yang menggunakan pendekatan sederhana iaitu tidak meninggalkan zahir teks tetapi pada masa yang sama memahami juga tujuan pensyariatannya yang dikenali sebagai maqasid al-syari’ah.

6. Syari’at Islam datang bertujuan untuk merealisasikan maslahat (kepentingan atau kebaikan) manusia dan menolak mudharat (keburukan atau kerosakan) sama ada di dunia atau di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 90 bermaksud:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.

7. Segala yang Allah Azza wa Jalla perintahkan adalah baik, dan segala yang dilarang adalah perkara yang tidak baik. Imam al-Baidhawi (685H) berkata:

Sesungguhnya istiqra’ (penelitian) menunjukkan bahawa Allah SWT mensyari’atkan hukum-hakamnya adalah untuk maslahat hamba. (al-Baidhawi, Minhaj al-Wusul fi al-Ilm al-Usul)

8. Imam al-‘Izz bin Abd al-Salam (660H) yang terkenal dengan gelaran Sultan al-Ulama’ pula menegaskan bahawa:

Jika kita ikuti tujuan yang ada di dalam al-Kitab dan al-Sunnah maka kita akan mengetahui bahawa sesungguhnya Allah memerintahkan semua perkara yang baik, Dia melarang semua yang buruk. Sesungguhnya kebaikan itu dikenali dengan mendapatkan maslahat dan menolak mafsadah, manakala keburukan pula dikenali dengan mendapatkan mafsadah dan menolak maslahat. (al-‘Izz bin Abd al-Salam, al-Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam)

9. Bagi seorang yang terlibat dalam bidang feqh, menjadi kemestian untuk menguasai bidang ini bagi menjamin ketepatan hukum yang dikeluarkan. Ia merupakan perkara pokok dan rukun terpenting memelihara kepentingan manusia. Tiada sebarang dalil dan hukum melainkan mempunyai hubungan yang rapat dengan maqasid al-syar’iah.

10. Dengan ilmu maqasid ini menjadikan kita mengetahui hikmah pensyari’atan dalam semua jenis ilmu syari’ah termasuk kesemua cabangnya serta hukum-hakamnya secara satu persatu. Ibn Taimiyah (728H) menjelaskan:

Ilmu tentang al-Kitab dan al-Hikmah yang diajarkan oleh nabi SAW kepada para sahabat serta umatnya tidak berhasil melainkan dengan mengetahui batas-batas apa yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya SAW daripada lafaz, makna, perbuatan dan maqasid. (Ibn Taimiyah, al-Fatawa)

Ilmu Maqasid al-Syari’ah

11. Maqasid al-Syari’ah telah berkembang menjadi satu ilmu yang mempunyai disiplin yang tersendiri. Ia merupakan salah satu daripada dua rukun penting selepas ilmu al-Lisan (bahasa Arab) dalam bidang Usul al-Feqh. Jika Imam al-Syafie (204H) terkenal sebagai pelopor ilmu Usul al-Feqh, Imam al-Khalil bin Ahmad (173H) dalam ilmu al-‘Arudh, dan Ibn Khaldun (808H) dalam ilmu Sains Sosial, maka perintis ilmu Maqasid al-Syari’ah ini adalah Imam al-Shatibi (790H) menerusi karyanya al-Muwafaqat.

12. Perkembangan ilmu ini telah melalui tiga fasa; fasa pertama iaitu perbahasan secara tidak langsung dalam karya para ulama’.Antaranya Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) dalam kitabnya al-Burhan dan Imam al-Ghazali (505H) dalam al-Mustasfa. Fasa kedua: perkembangan dan pembukuan, iaitu karya Imam al-‘Izz bin Abd al-Salam (660H) dalam Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam serta al-Qawa’id al-Sughra, dan Imam al-Qarafi (684H) menerusi karyanya al-Furuq. Seterusnya fasa ketiga iaitu matang dan lengkap sebagaimana yang dilakukan oleh Imam al-Shatibi (790H).

13. Di antara perbahasan utama ilmu ini adalah berkaitan maslahat (kepentingan) manusia. Kesemua perintah Allah SWT adalah bertujuan untuk kebaikan dan kepentingan manusia. Sebaliknya semua yang dilarang adalah untuk mengelakkan mudharat(keburukan) daripada terkena manusia. Oleh itu, Imam al-Gahazali (505H), berkata:

Yang kami maksudkan dengan maslahat ialah memelihara tujuan syara’.Memelihara tujuan syara’ ke atas manusia pula ada lima, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Semua perkara yang termasuk dalam memelihara limaperkara ini adalah maslahat. (al-Ghazali, al-Mustasfa)

14. Manakala Imam al-Shatibi (790H) pula menyatakan:

Umat telah sepakat, bahkan juga semua agama bahawa diwujudkan syari’at adalah bertujuan untuk memelihara lima perkara asas iaitu; agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. (al-Shatibi, al-Muwafaqat)

15. Lima perkara asas ini hampir disepakati oleh para ulama’ sebagai ruang lingkup keseluruhan hidup manusia. Tiada satu pun juzu’ kehidupan kita melainkan termasuk dalam salah satu daripada limaperkara asas tersebut yang dikenal sebagai al-Kulliyat al-Khamsah. Ia merupakan kaedah umum dan prinsip menyeluruh syari’at Islam.

16. Sebenarnya tidak cukup kita hanya melihat teks-teks juz’ie tenpa melihat kepada asas-asas utama syari’at secara menyeluruh. Kerana ia boleh membawa kepada kecelaruan kefahaman dan teks syara’ dilihat bercanggah di antara satu sama lain. Kesannya kita akan gagal melaksanakan setiap perintah Allah Azza wa Jalla serta laranganNya. Ini tidak sepatutnya berlaku. Oleh sebab itulah, Imam al-Ghazali (505H) menukilkan kata-kata Imam al-Shafie (204H) selepas menjelaskan apa yang perlu dijaga oleh seorang mujtahid ketika melakukan istinbat (keluarkan) hukum, katanya:

Dan hendaklah diteliti pertama sekali al-qawa’id al-kulliyah (kaedah-kaedah menyeluruh), dan ia didahulukan daripada juzu’-juzu’ kecil sebagaimana dalam kes bunuh bilmuthaqqal (dengan alat berat). Maka didahulukan kaedah ‘menakutkan’ke atas menjaga nama sedia ada dalam juz’ie (perkara kecil cabang). (al-Ghazali, al-Mustasfa)

17. Jika hanya melihat kepada juz’ie tanpa melihat maqasid, maka terlepaslah hukuman terhadap pembunuh yang tidak menggunakan senjata biasa seperti batu besar, kayu balak dan peledak bom seumpama C4. Juga terlepaslah hukuman penjenayah yang merompak RM250 juta sedangkan tidak bagi yang mencuri RM250. Begitu juga hanya berfatwa hukum haram melakukan demonstrasi tetapi tidak bagi yang melakukan provokasi. Sehinggalah dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum tiada jihad bagi rakyat Palestin dengan pelbagai alasan juz’ie semata-mata.

18. Kesimpulannya, menjadi satu keperluan kepada kita untuk memahami maqasid al-syari’ah terutamanya pada zaman sekarang yang sangat mementingkan kebendaan dan kontang daripada kerohanian serta kosong daripada sebarang makna. Dunia sudah berubah dan berkembang kepada satu bentuk baharu yang tiada pada masa dahulu. Namun ia terikat dan tidak terlepas daripada maqasid al-Syari’ah. Maka, kita perlu membaca setiap teks syara’ dengan bacaan maqasidi. Kita perlu meneliti tujuan dan makna sesuatu teks untuk keseimbangan di antara kebendaan dan kerohanian.



Anhar Opir
27 Muharram 1434H
Sweileh, Amman


6 ulasan:

  1. Assalamualaikum ustaz.
    suatu pencerahan yang sangat baik berkaitan maqasid syariah. walaupun ustaz jauh di Amman tetapi masih mengikuti perkembangan semasa di Malaysia =)

    BalasPadam
  2. tq ustaz. tringt kuliah ust zaharddin brkrnaan maqasid aqliyah https://www.youtube.com/watch?v=vDps0iTHRy4&list=UUaB9SRIx2uXRopl7XOYC8qg&index=5

    BalasPadam
  3. sangbulan-MUSTAFA: jazakallah khairan

    BalasPadam
  4. Rafiuddin Ramli: jazakallah khairan, itu bidang beliau

    BalasPadam