Jumaat, 23 November 2012

DI SEBALIK ‘ASYURAA’


1. Sudah masuk dua minggu rakyat Jordan menentang kenaikan mendadak harga bahan api. Petrol Ron 90 yang biasa saya gunakan untuk kereta naik 10 Qurush menjadi 80 Qurush bagi setiap liter. Yang lebih memeritkan rakyat Jordan adalah harga gas yang naik harganya menjadi JD10 setong berbanding JD6.50 setong sebelum ini. Nampakanya macam murah tetapi jika ditukar kepada duit kita ia menjadi RM45 setong, sangat mahal! Patutlah rakyat Jordan tidak berpuas hati dan melakukan tunjuk perasaan. Mereka berhimpun dan membantah penindasan dan kezaliman yang sedang mereka rasai.

Demonstrasi di Amman
 
2. Di Jordan, gas adalah keperluan asasi khususnya pada musim sejuk. Selain untuk memasak, ia diperlukan untuk menghidupkan subah (pemanas) ketika di rumah. Jika penggunaan maksimum, dalam masa empat hari sekali satu tong gas diperlukan. Bayangkan berapa jumlah tong yang diperlukan dalam masa sebulan? Rakyat kebanyakan di Jordanmemang terasa dengan kenaikan harga ini. Tidak pelik jika mereka laungkan ia adalah satu kezaliman.

3. Inilah keadaan dan suasana yang melatari hari ‘Asyuraa’ kali ini di Jordan. Cuaca yang sejuk dan rasa dizalimi dengan kenaikan harga bahan api. Dalam artikel yang lalu, saya telah terangkan bulan Muharram dan pensyari’atan puasa Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’. Begitu juga dengan fadhilat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut.

4. Di sebalik hari ‘Asyuraa’ ini terdapat kisah yang perlu kita renungi. Ia bukan berkaitan peristiwa Karbala’yang kenang oleh golongan Syi’ah. Peristiwa ini tiada kaitan langsung dengan pensyari’atan puasa sunat ‘Asyuraa’ kerana ia berlaku selepas kewafatan nabi SAW. Sedangkan hadith nabi SAW yang menyebut tentang puasa ‘Asyuraa’ ini adalah ketika nabi SAW masih hidup lagi. Sangat pelik mereka yang mengagungkan peristiwa ini yang mereka sebut sebagai Yaum al-Ghadir dengan cara mencederakan badan dan diri mereka. Ia bukan daripada Islam.

5. Asas pensyari’atan puasa ‘Asyuraa’ ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa:

Apabila nabi SAW sampai di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura’, maka nabi SAW bertanya: Ada apa (dengan hari ini)? Mereka menjawab: Ini adalah hari baik, ini adalah hari yang Allah selamatkan bani Israeldaripada musuh mereka, maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Nabi SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan nabi Musa berbanding kamu, baginda pun berpuasa dan menyuruh berpuasa padanya. (Riwayat al-Bukhari)

6. Jika diteliti daripada hadith di atas, puasa ‘Asyuraa’ ini ada kaitan dengan nabi Musa ASyang telah selamat dari kezaliman Fir’aun pada tarikh ini. Jika dihitung jarak masa kebangkitan nabi SAW dengan nabi Musa AS, pasti sangat jauh, dan ia lebih juah di antara kita sekarang dengan nabi Musa AS. Namun nabi SAW bergembira dengan selamatnya nabi Musa AS tersebut. Apabila nabi SAW melihat orang Yahudi berpuasa kerananya maka nabi SAW memerintahkan para sahabat juga berpuasa, kerana orang yang paling layak bergembira adalah mereka yang beriman bukannya mereka yang menyelewengkan agama seperti orang-orang Yahudi. Imam Ibn Hajar al-Asqolani (852H) berkata:

Hadith Ibn Abbas menunjukkan bahawa faktor yang menyebabkan nabi SAW berpuasa adalah sebab yang sama dengan mereka iaitu bersyukur kepada Allah terhadap selamatnya nabi Musa. (Ibn Hajar, Fathu al-Bari)

7. Ibn Hajar juga menyatakan bahawa berkongsi gembira seumpama ini turut berlaku kepada nabi Musa ASkerana selamatnya nabi Nuh AS daripada badai taufan dan banjir besar. Inilah contoh kebersamaan perasaan sesama mukmin yang beriman kepada Allah Azza wa Jalla yang telah ditunjukkan oleh para anbiya’. Mereka tidak pernah bertemu atau bersua muka tetapi berkongsi perasaan gembira. Gembira ini dinamakan sebagai gembira imani yang sepatutnya dimiliki oleh semua muslim.

8. Jika gembira perlu dikongsi maka perasaan sedih dan dukacita lebih utama untuk dikongsi. Bagaimana kita boleh melupakan tangisan dan kesakitan saudara kita yang dibom dan dibunuh di Palestin, ditembak di Syria, ditindas di Rohingya dan terus dizalimi di seluruh dunia? Disaat rakyat Eropah yang tidak beriman membenci penindasan dan kezaliman ini, kita dapati pula tidak sedikit umat Islam yang takut dan kedekut untuk memboikot kepentingan Yahudi. Sedangkan kita lebih utama daripada mereka untuk berkongsi gembira dan sedih terhadap saudara seakidah kita, kerana ia merupakan ciri-ciri dan sifat orang Islam. Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Bashir bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Perumpamaan orang-orang mukmin dalam belas kasihan, kasih sayang dan kelembutan mereka adalah seperti satu jasad. Apabila salah satu anggota mengadu sakit maka ia mengajak seluruh anggota yang lain berjaga malam dan merasa sakit. (Riwayat al-Bukhari)


Nabi Musa AS vs Fir’aun

9. Pertembungan nabi Musa ASdengan Fir’aun adalah pertembungan di antara hak dan batil. Fir’aun bukan sekadar zalim dan menindas rakyatnya, tetapi juga telah mengaku menjadi tuhan. Nabi Musa AS diutuskan oleh Allah SWT untuk berdakwah kepada si zalim yang mengaku tuhan ini. Ini bukan tugas dan misi kecil! Tidak sedikit ayat al-Qur’an dalam pelbagai surah menceritakan kisah nabi Musa ASdengan Fir’aun. Al-Qur’an menggunakan kaedah dan mesej yang berbeza untuk manusia mengambil pengajaran daripadanya.

10. Ahli sihir Fir’aun yang tewas kepada mukjizat nabi MusaAS lalu ingin beriman kepada Allah Azza wa Jalla pun dimarah oleh Fir’aun kerana tidak minta keizinannya. Rasa berkuasa yang melampau ini yang sukar tunduk kepada kebenaran. Firman Allah SWT dalam surah al-A’araf ayat 123-124 bermaksud:

Firaun berkata: Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya daripadanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya). Demi sesungguhnya, aku akan potong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian Aku akan memalang kamu semuanya.

11. Mereka beriman setelah yakin dengan kebenaran yang dibawa oleh nabi Musa AS. Tetapi bagi si zalim Fir’aun kebenaran tidak membuatkannya tunduk. Yang penting baginya adalah kerajaan dan kekuasaan. Kuasa adalah segala-galanya, perlu dipertahankan walaupun terpaksa menindas dan menzalimi orang lain. Anak-anak, golongan wanita dan sesiapa sahaja menjadi sasaran Fir’aun.

12. Kemuncak penindasan dan kezaliman ini ialah apabila Fir’uan merancang untuk membunuh nabi Musa AS.Tidak cukup itu sahaja, nabi MusaAS pula yang dituduh melakukan kejahatan serta kerosakan. Fir’aun mengolah persetujuan orang ramai agar melihat dia berada di pihak yang benar dan bukannya nabi Musa AS, sedangkan ia adalah sebaliknya. Firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 26 bermaksud:

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia meminta pertolongan daripada Tuhannya. Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar agama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi.

13. Fir’aun memiliki kuasa dan kerajaan serta seluruh kepentingan rakyat berada di bawah telunjuknya. Nabi Musa AS yang membawa misi keimanan dan kebenaran hanya bergantung kepada Allah Azza wa Jalla. Tetap berdakwah dan menegur Fir’aun agar menyembah Allah SWT walaupun dalam keadaan yang serba serbi terbatas dan terhad.

14. Nabi Musa AS juga menggunakan senjata doa, bermunajat kepada Alla SWT untuk menghadapi kezaliman Fir’aun. Allah Azza wa Jalla merakamkan doa ini menerusi firmanNya dalam surah Yunus ayat 88-89 yang bermaksud:

Dan nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami, (kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka dan tutuplah hati mereka, maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

15. Doa yang datang dari lubuk hati, keras dan tajam! Didoakan kebinasaan harta Fir’aun, bukan itu sahaja, didoakan juga agar hatinya dikunci daripada menerima petunjuk Ilahi. Ini doa seorang nabi yang diutus oleh Allah SWT, berhadapan dengan keangkuhan dan kezaliman Fir’aun.

16. Biasanya orang dizalimi tidak mempunyai sebarang kuasa. Apabila ditindas dan dizalimi, tiada apa yang dia miliki melainkan berdoa kepada Allah Azza wa Jalla. Doa orang yang dizalimi adalah mustajab. Jangan dilihat keras dan tajamnya doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT yang datang dari lubuk hatinya, tetapi lihatlah sakit dan kerasnya penindasan si penguasa yang yang angkuh lagi zalim.

17. Kesimpulannya, di sebalik ‘Asyuraa’ ada kisah pertembungan di antara hak dan batil, iaitu di antara nabi Musa AS dan Fir’aun yang zalim. Pertembungan seumpama ini kekal sehingga hari kiamat tetapi dengan watak dan nama yang berbeza.


Anhar Opir
9 Muharram 1433H
Sweileh, Amman

6 ulasan:

  1. Syukran atas pencerahannya ustaz. Insya'Allah. Semoga menjadi peringatan buat diri.

    BalasPadam
  2. tahniah ust..artikel yang bagus n tersurat..2 in 1..Asyura n doa..semoga penjelasan ini mampu menerangkan kepada awam berkenaan jawapan yang sebenar..

    BalasPadam
  3. Pengamanah Agama Allah: jazakallah khairan

    BalasPadam
  4. Sangat membantu dalam memahami sesuatu isu. terima kasih moga Allah terus memberi kekuatan untuk tuan menyebar luaskan kefahaman terhadap agama Allah.

    BalasPadam