Rabu, 4 April 2012

SYURA: WAJIB DILAKSANAKAN ATAU TIDAK?


1. Syura atau bermesyuarat dalam sesuatu perkara adalah disyari’atkan dalam Islam. Ia bertujuan untuk mengambil satu keputusan bersama dalam semua peringkat kehidupan manusia daripada yang paling tinggi seumpama urusan pemerintahan negara hinggalah kumpulan yang paling kecil iaitu urusan keluarga. Apa yang menjadi persoalan ialah adakah keputusan itu wajib dilaksanakan atau hanya sekadar cadangan semata-mata yang tidak wajib dituruti?

gambar hiasan

2. Menoleh sejarah, pengamalan syura ini bukan perkara yang baharu, ia juga dilakukan oleh umat terdahulu lalu mereka melaksanakan hasil keputusannya secara bersama. Kita boleh lihat wujudnya maksud berunding ini ketika Firaun yang zalim ingin berhadapan dengan nabi Musa AS, Firaun telah berbincang dengan kaumnya yang hanya menurut sahaja tanpa sebarang pandangan lain, jauh sekali bantahan. Firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf ayat 51-54 bermaksud:
Dan Firaun menyeru kaumnya, katanya: Wahai kaumku, bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku, tidakkah kamu melihatnya? Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? (Kalau betul dia seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan gelang-gelang emas, atau datang malaikat bersama-sama dengannya, maka Firaun menakutkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik.

3. Begitu juga Raja Saba’ yang telah berbincang dengan kaumnya ketika menerima surat daripada nabi Sulaiman AS. Firman Allah SWT dalam surah al-Naml ayat 29-33 bermaksud:
Raja perempuan itu berkata lagi: Wahai ketua-ketua kaum, berilah pandangan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini, aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya. Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; namun perkara itu terserahlah kepadamu. Oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.

4. Menerusi kedua-dua ayat tadi, kita dapati Firaun berunding dengan kaumnya namun tidak berlaku bertukar-tukar pandangan dan idea, mereka hanya menurut sahaja kata-kata Firaun tanpa membantah. Kaum Saba’ pula memberikan respon tetapi memulangkan semula sebarang keputusan kepada ketuanya. Nampaknya seperti tidak berlaku sebarang rundingan pun. Jadi, kita perlu mengetahui apakah maksud syura yang sebenarnya?

Maksud Syura
5. Syura maksudnya ialah berunding dan bertukar-tukar pandangan. Paling minimum dua orang dan maksimum tanpa sebarang had. Ia melibatkan urusan umum atau khusus untuk menyaring pendapat yang paling sesuai dan paling tepat demi merealisasikan kepentingan manusia dan negara serta menolak kerosakan secara menyeluruh. Semua ini hanya berlaku jika sesuatu perkara itu dibentangkan untuk dibahaskan. Ibn al-‘Arabi (543H) mendifinisikan syura sebagai:
Perhimpunan ke atas satu perkara untuk meminta pandangan setiap seorang dan mengeluarkan apa yang ada padanya. (Ibn al-‘Arabi, Ahkam al-Qur’an)

6. Ia membawa maksud kumpulan yang terdiri daripada lebih seorang yang masing-masing memberikan pendapat. Pandangan yang pelbagai diperlukan untuk mencari yang paling tepat. Ini seperti yang ditegaskan oleh Dr. Abd Rahman Abd Khaliq bahawa syura ialah:
Meminta pandangan daripada orang yang pakar dalam perkara yang dibincangkan untuk sampai kepada yang paling hampir dengan kebenaran. (Abd Rahman Abd Khaliq, al-Syura fi Dzilli Nizomi al-Hukmi al-Islami, Dar al-Salafiah, Kuwait, 1975, hlmn 14)

7. Dengan makna dan maksud di atas, kita dapati dalam Islam syura mempunyai kedudukan yang penting. Sebab itu Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa bermesyuarat. Bahkan salah satu daripada nama-nama surah di dalam al-Qur’an adalah al-Syura yang menunjukkan kepentingannya untuk dijadikan mekanisme utama dalam kehidupan seharian kita dengan menjaga adab-adabnya. Allah SWT meletakkan syura sebaris dengan ibadat solat dan zakat yang hukum kedua-duanya adalah wajib. Firman Allah SWT dalam surah al-Syura ayat 38 bermaksud:
Dan juga  orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepadanya.

8. Demikian syura yang diperintahkan dengan maksud mencari keputusan yang paling hampir dengan tepat yang perlu dijaga adab-adabnya dalam kehidupan seorang muslim. Sehingga dalam urusan kekeluargaan terutamanya pasangan suami isteri pun ia sangat dituntut. Ini jelas kita dapati menerusi firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 233 bermaksud:
Kemudian jika kedua-duanyanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).

9. Syura dengan maksud ini juga yang telah nabi SAW sebutkan kepada Abu Bakar RA dan Umar RA apabila kedua-duanya telah bersetuju terhadap suatu perkara, maka nabi SAW tidak akan menyalahinya, sabdanya:
Sekiranya kamu berdua telah sepakat melalui mesyuarat nescaya aku tidak akan menyalahinya. (Riwayat Ahmad).

10. Maka syura dianggap satu mekanisma yang berkesan untuk mengetahui keputusan terbaik yang paling sesuai melalui proses perbincangan dan perbahasan. Ia diyakini mampu mengurangkan kesalahan dan kesilapan. Ia lebih utama jika berkaitan dengan urusan pemerintahan negara. Sebab itu ia menjadi pemisah di antara pemerintahan Islam dengan pemerintahan kuku besi dan selainnya. Seorang sarjana Arab Farid Abd Khaliq menerangkan bahawa:
(Pemisah) di antara pemerintahan Islam dengan pemerintahan kuku besi ialah meninggalkan syura. (Farid Abd Khaliq, Fi al-Fiqhi al-Siyasi al-Islami, Dar al-Syuruq, 1998, hlmn 39)

Syura: mulzimah atau mu’limah?
11. Kita semua memahami keperluan dan kepentingan syura ini dengan maksudnya yang betul. Cuma perselisihan berlaku tentang status keputusan syura yang dilakukan sama ada hukumnya wajib dilaksanakan atau tidak? Ia berlaku kesan pendapat para ulama’ yang tidak sepakat dalam hal ini. Sebahagiannya mewajibkan imam (pemimpin negara) melaksanakan keputusan syura yang diistilahkan sebagai bersifat mulzimah (mewajibkan), manakala sebahagian yang lain mengatakan tidak, ia hanya bersifat mu’limah (memberitahu) sahaja.

12. Dalam hal ini, sebahagian ulama’ menyatakan bahawa hukum melaksanakan keputusan syura adalah wajib. Maknanya satus syura ialah mulzimah (wajib). Al-Qurtubi (671H) menjelaskan tentang ayat 38 surah al-Syura:
Ibn ‘Atiyah berkata: Dan syura adalah salah satu daripada asas syari’at dan rukun hukum hakam, barangsiapa yang tidak berbincang dengan ahli ilmu dan agama maka wajib dipecat, dan tiada perselisihan dalam hal ini. (al-Qurtubi, Jami’ li Ahkam al-Qur’an)

13. Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat lain yang memerintahkan agar kita melakukan mesyuarat. Kaedah dalam feqh ada menyebut bahawa sesuatu perintah adalah menunjukkan kewajipan. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 159 bermaksud:
Maka dengan sebab rahmat daripada Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

14. Berkenaan ayat ini Imam al-Razi (606H) dalam tafsirnya menyebut:
Secara zahir perintah suruhan adalah untuk hukum wajib, firmanNya: Dan bermesyuaratlah dengan mereka, maka hukumnya adalah wajib. (al-Razi: Tafsir al-Kabir)

15. Ini ditambah dengan beberapa tindakan nabi SAW yang jelas menunjukkan kepada perlaksanaan keputusan syura yang telah dipersetujui bersama. Peristiwa dalam peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun kedua Hijrah menjelaskan perkara ini. Setelah nabi SAW mendapat pandangan daripada kedua-dua golongan Muhajirin dan Ansar maka nabi SAW meneruskan perjalanannya. Manakala keputusan syura dalam peperangan Uhud yang berlaku pada tahun ketiga Hijrah pula lebih kuat membuktikan hukum wajibnya melaksanakan keputusan syura, sehingga nabi SAW tidak berganjak daripadanya selepas keputusan dibuat. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak patut bagi seorang nabi apabila telah memakai (baju besi) untuk umatnya, dia menanggalkannya sehinggalah berperang. (Riwayat Ahmad)

16. Hukum wajib ini juga bersandarkan kepada ijma’ para sahabat selepas kewafatan nabi SAW ketika mereka memutuskan Abu Bakar RA sebagai khalifah. Ia adalah hasil syura yang berlaku di Saqifah Bani Sa’idah. Maka ijma’ mereka ini adalah dalil kewajipan syura dalam urusan yang sangat penting, dan keputusannya juga wajib dilaksanakan. Ibn al-‘Arabi (543H) menegaskan:
Sesungguhnya perkara pertama yang para sahabat lakukan syura adalah dalam urusan khilafah. (Ibn al-‘Arabi, al-Ahkam al-Qur’an)  

17. Manakala sebahagian ulama’ yang lain menyatakan bahawa hukum melaksanakan keputusan syura adalah tidak wajib. Dengan erti kata lain syura sifatnya hanyalah mu’limah (memberitahu) sahaja. Mereka bersandarkan kepada ayat yang sama iaitu surah Ali Imran ayat 159, tetapi dengan kaedah yang berlainan iaitu sesuatu perintah hanya menunjukkan hukum sunat, bukannya wajib. Mereka juga mendakwa bahawa sebenarnya cukup bagi nabi SAW dengan wahyu sahaja tanpa perlu kepada syura. Syura yang nabi SAW lakukan dalam peperangan Badar dan Uhud tidak lain hanyalah sebagai galakan dan panduan kepada umat Islam selepasnya. Nabi SAW juga ada hak untuk menerima dan menolak segala keputusan yang dibuat.

Pendapat terpilih
18. Melihat kepada sistem pemerintahan negara atau sesuatu organisasi, maka syura adalah satu institusi terpenting untuk membuat sebarang keputusan. Selagi mana ahli syura yang terlibat mempunyai kelayakan dan mematuhi prinsip syura Islam maka keputusan syura mampu menyatukan suara yang berpecah dan mengurangkan perselisihan yang boleh membawa kepada perbalahan. Kerana perkara yang tiada nas padanya memang bersifat ijtihadi (boleh difikirkan dan dibahaskan) yang terdedah kepada perselisihan. Pada waktu ini kayu ukur lain adalah diperlukan terutamanya maqasid syari’ah (objektif pensyari’atan) yang berdiri di atas maslahah dan menolak mafsadah untuk mengelakkan perselisihan. Sebagaimana kepentingan ramai akan diutamakan daripada kepentingan peribadi, maka demikianlah pandangan ramai akan diutamakan juga daripada pandangan peribadi.

19. Seorang insan tidak boleh mendakwa pandangannya sahaja yang paling benar walaupun dia cukup yakin dengan benarnya pandangannya. Tiada ikutan sebaik ikutan nabi SAW yang diriwayatkan antara manusia yang paling banyak berbincang dan berunding dengan para sahabatnya seterusnya melaksanakan keputusan bersama. Baginda adalah nabi dan rasul pilihan Allah Azza wa Jalla yang diperteguhkan dengan wahyu, pun begitu masih ingin mendengar pandangan orang lain. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa:
Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling banyak mesyuaratnya dengan sahabatnya melainkan nabi SAW. (Riwayat Tirmizi)

20. Seorang tokoh pemikir Islam Abu al-A’la al-Maududi (1979M) sendiri telah menukar pandangan awalnya yang menyatakan bahawa syura adalah mu’limah dalam bukunya Nidzomu al-Hayati fi al-Islam, kepada syura adalah mulzimah dalam kitabnya al-Hukumah al-Islamiyah. Maknanya seorang ketua tiada pilihan untuk menerima atau menolak keputusan syura, sebaliknya dia mesti melaksanakannya. Menurutnya jika seorang pemimpin tidak melaksanakan keputusan syura yang diadakan maka hilanglah makna dan nilai sebuah syura. Inilah juga pandangan kebanyakan para ulama’ kontemporari seperti Dr. Abdul Karim Zaidan, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Muhammad Syaltut, Syed Qutb dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

21. Kesimpulannya, keputusan syura wajib dilaksanakan terutamanya pada zaman sekarang yang segala-galanya berbeza dengan zaman para sahabat RA. Apakah suasana sekarang terlalu kondusif untuk menyifatkan syura hanya sebagai mu’limah


Anhar Opir
12 Jumada al-Ula 1433H
Sweileh, Amman

7 ulasan:

  1. Allah Subhanahuwata’ala berfirman : "Apakah kamu beriman kepada sebagian kitab dan kamu tolah sebagian yang lain, tidak ada balasan bagi orang yang melakukan perbuatan seperti itu melainkan kehinaan di dunia dan pada hari kiamat nanti mereka akan dimasukkan ke dalam azab yang sangat pedih." (QS.2: 85).

    Rasulullah saw bersabda : ”Bagi kamu sunnahku dan sunnah para ( sahabatku) Khulafa ’ur-Rasyidin ” ( HR . Abu Daud , Ibn Majah ,Ibn Hibban dan Tirmidzi ).

    BalasPadam
  2. Salam,ustaz anhar.mohon share di blog saya..

    BalasPadam
  3. Jazakallah kheir ya ustaz...kami di mu'tah mendapat pencerahan tentangnya...

    BalasPadam
  4. sangbulan-MUSTAFA: jazakallah khairan

    BalasPadam
  5. ibn suhaimi: jazakallah khairan

    BalasPadam