Ahad, 25 Mac 2012

SYUKUR ATAS NIKMAT


1. Kita disuruh bersyukur atas segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita. Kadang-kadang nikmat itu berbentuk kejayaan dalam peperiksaan seperti keputusan SPM yang baru diumumkan pada minggu lepas. Kadang-kadang ia berbentuk mendapat kerja yang dipohon, seorang lelaki yang pinangannya diterima, berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan bolasepak, dan  berjaya menganjurkan sesuatu program. Kesemua itu adalah beberapa contoh nikmat, maka kita perlu mensyukurinya. Cuma adakah cukup kita mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda syukur? Bagaimana pula dengan kenduri kesyukuran yang biasa kita buat?


2. Ya, nikmat Allah SWT terlalu banyak, kita tidak akan mampu mengira kesemuanya. Yang setiap hari kita dapat sudah tidak kita endahkan lagi sehingga kita lupa ia juga merupakan nikmat Allah. Nikmat bernafas, nikmat melihat, nikmat mendengar, dan pelbagai lagi. Menyangka hanya nikmat yang mufaja’ah (tiba-tiba dapat) sahaja sebagai nikmat mengakibatkan kita hanya bersyukur dalam kuantiti yang terlalu sedikit bahkan boleh menjerumuskan kita kepada manusia yang tidak bersyukur.

3. Sebab itu, kita sangat lemah untuk menghitung kesemua nikmat yang kita terima. Dan jika kita cuba untuk menghitungnya juga nescaya kita tidak akan mampu menghitungnya dengan tepat dan betul. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 34 bermaksud:
Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.

4. Dari sini kita melihat betapa pentingnya bersyukur. Salah satu daripada bentuk syukur kepada Allah SWT ialah dengan hati iaitu perasaan takut dan harap kepadaNya yang boleh membawa kepada melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Termasuk dalam kategori ini ialah ikhlas dalam segala kerja buat kita. Kesyukuran ini boleh menjadi sebab bertambahnya nikmat Allah Azza wa Jalla. FirmanNya dalam surah Ibrahim ayat 7 bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah lagi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.

5. Syukur bakal menambah nikmat, manakala kufur pula boleh mengundang azab. Bahkan azab Allah Azza wa Jalla juga boleh berlaku dalam bentuk penarikan nikmat. Kerana azab Allah SWT itu pelbagai, sebahagiannya di dunia dan sebahagian lagi di akhirat. Penarikan nikmat adalah salah satu bentuk azabNya di dunia ini, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Soff ayat 5 bermaksud:
Dan ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), maka Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk).

6. Selain itu, bentuk syukur ialah dengan puji-pujian menggunakan lisan. Sentiasa menyebut nikmat-nikmat Allah SWT dengan memujiNya dan melaksanakan amar makruf dan nahi munkar. Allah SWT menyuruh kita menyebut dan mengingatiNya menerusi firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 152 bermaksud:
Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).  

7. Bentuk syukur yang seterusnya ialah melalui amal perbuatan, iaitu melaksanakan segala kewajipan yang difardhukan serta menjaganya, seperti solat, zakat, haji, dan berjihad di jalan Allah SWT sama ada dengan diri atau harta. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 41 bermaksud:
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

8. Ramai manusia yang telah diberikan nikmat tetapi mereka tidak bersyukur bahkan lupa dan leka. Mereka tetap kufur dan tidak beriman, maka layaklah mereka mendapat azab Allah SWT. FirmanNya dalam surah Muhammad ayat 12 bermaksud:
Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.

9. Kita selaku mukmin perlu mempunyai dua sifat iaitu sabar dan syukur. Kita perlu bersabar atas segala musibah yang menimpa dan bersyukur atas segala nikmat. Inilah yang menakjubkan kepada seorang mukmin yang sejati, kerana semua perkara baginya adalah baik. Sama ada musibah atau ujian, kedua-duanya adalah baik baginya. Diriwayatkan daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan RA bahawa nabi SAW bersabda:
Menakjubkan bagi urusan seorang mukmin, sesungguhnya semua perkara baginya adalah baik. Ia tidak berlaku kepada seseorang selain mukmin. Jika seorang mukmin  menerima kegembiraan dia akan bersyukur, perkara itu baik baginya. Jika ditimpakan dengan kemudharatan dia akan bersabar, perkara itu baik baginya. (Riwayat Muslim)
                    
10. Bersyukur bukan menafikan kegembiraan, begitu juga bersabar bukan menafikan kesedihan. Gembira kerana suatu nikmat jangan sampai menyebabkan kita melanggar syari’at Allah SWT. Kenduri kesyukuran tidak salah tetapi jangan sampai membazir, menunjuk-nunjuk dan tidak melaksanakan kewajipan. Manakala sedih kerana suatu musibah pula jangan sampai mencela qadha’ qadar atau kecewa hingga membunuh diri. Hanya orang yang sabar dan syukur memahami hikmah ketetapan Rabb al-Jalil dalam semua perkara. FirmanNya dalam surah Ibrahim ayat 5 bermaksud:
Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.

11. Kita dilarang kecewa dan berputus asa atas musibah yang telah ditakdirkan. Gagal dalam peperiksaan, tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, putus cinta dan kemalangan yang menimpa sebagai contoh perlu diuruskan  dengan mencari punca-puncanya. Strategi perlu disusun semula untuk mendapat nikmat yang lebih besar selepas itu. Mungkin salah satu faktornya kerana kita tidak bersyukur dengan sebenarnya atas nikmat sebelum ini, lalu Allah SWT inginkan kita berfikir dan bermuhasabah.

12. Jalan terbaik untuk kita mendapatkan semula nikmat Allah SWT ialah dengan bertaubat daripada segala dosa yang kita lakukan. Dosa-dosa inilah yang menghalang nikmat Allah SWT daripada sampai kepada kita. Maka dengan bertaubat mampu membuang penghalang ini. Banyakkanlah istighfar yang merupakan salah satu daripada wasilah taubat, kerana ia boleh menjadi penyebab datangnya pelbagai nikmat Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Nuh ayat 10-12 bermaksud:
Sehingga aku (Nuh) berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia maha pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

13. Oleh itu, bersyukurlah atas segala nikmat Allah SWT yang kita kecapi sama ada dengan hati, lisan atau amal perbuatan. Tidak cukup hanya sekadar melafazkan alhamdulillah semata-mata, bahkan juga perlu dibuktikan dengan tindakan, dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Kita juga hendaklah menjauhkan dosa yang boleh menghalang nikmat sampai kepada kita.

14. Kesimpulannya, jadilah hambaNya yang bersyukur walaupun kumpulan ini sangat sedikit. Gabungan syukur, sabar dan istighfar sangat penting untuk terus mendapat nikmat Allah SWT.


Anhar Opir
2 Jumada al-Awal 1433H
Sweileh, Amman

5 ulasan:

  1. Alhamdulillah...terima kasih atas perkongsian

    BalasPadam
  2. sangbulan-MUSTAFA: jazakallah khairan

    BalasPadam
  3. assalamualaikum ustaz. mohon share artikel ni di facebook...

    BalasPadam
  4. ruszainura ustati: salam, silakan

    BalasPadam
  5. alhamdulillah, terima kasih ust :)

    BalasPadam