Rabu, 7 Disember 2011

BALASAN MENGIKUT PERBUATAN


1. Kita sering mendengar orang Melayu berkata: buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sekali. Ada sedikit persamaan dengan pepatah Arab yang menyebut: kama tadinu tudan (sebagaimana kamu buat baik maka kamu akan mendapat balasan baik), juga pepatah lain yang menyatakan: al-jazaa’ min jinsi al-‘amal (balasan adalah daripada amalan yang sama). Sesiapa sahaja boleh mengambil pengajaran pepatah ini kerana ia bersifat umum, sama ada lelaki atau wanita, kawan dan lawan, atau pemimpin dan rakyat.


2. Jika kita perhatikan, pepatah ini tidak bercanggah dengan sunnatullah. Seseorang yang menolong orang lain bakal mendapat kebaikan sama ada di dunia atau di akhirat. Sebaliknya seseorang yang melakukan kejahatan pula bakal mendapat balasan yang setimpal di dunia dan di akhirat. Kejadian-kejadian yang berlaku di hadapan mata kita sebelum ini telah mengesahkan pepatah ini. Terdapat juga teori yang mengatakan bahawa setiap pepatah yang wujud adalah hasil kejadian yang berlaku berulang kali. Perbezaan ini timbul hanya untuk mengetahui manakah yang asal dan lebih dahulu wujud, pepatah atau kejadian?

3. Apa yang penting bagi kita adalah perbuatan baik yang disuruh oleh agama untuk kita lakukannya, dan mengelakkan perbuatan jahat yang diistilahkan oleh agama sebagai maksiat, sama ada mendapat balasannya di dunia atau tidak. Kerana pahala dan dosa serta balasan pada hari akhirat adalah pasti. Jangan pula sampai pepatah ini menjadi rukun agama sebagaimana hukum karma dalam agama Hindu atau teori kelahiran semula dalam agama Buddha. Akal mereka sesat kerana tidak dibimbing wahyu.

4. Walau bagaimanapun, pepatah ini masih bertepatan dengan roh syara’. Terdapat beberapa ayat al-Qur’an dan al-Hadith nabi SAW yang mempunyai kaitan yang rapat dengannya. Kerana tidak bercanggah dengan sunnatullah, dan boleh menjadi satu kaedah umum untuk lebih mudah memahami perundangan Islam. Allah SWT membalas perbuatan orang-orang munafik dengan sesuatu yang sama yang telah mereka lakukan, firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 14-15 bermaksud:
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami telah beriman, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman). Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka.

5. Mereka telah memperolok-olok lalu dibalas dengan perkara yang sama. Dalam konteks yang lain Allah Azza wa Jalla berfirman dalam surah al-Taubah ayat 79 bermaksud:
Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian daripada orang-orang Yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

6. Orang munafik ini tidak senang dengan amalan baik, umat Islam yang bersedekah dengan banyak diejek oleh mereka, sebagaimana umat Islam yang bersedekah dengan sedikit juga tetap diejek oleh mereka. Sedikit atau banyak sedekah kita bukan persoalan utama, yang penting adalah keikhlasan. Namun orang munafik yang tidak mengerti dengan prinsip ini lalu mengejek sedekah umat Islam, Allah SWT mengejek mereka sebagai balasan yang sama di samping azab seksaan. Imam Ibn Kathir (774H) ketika membincangkan ayat ini berkata:
Firman Allah: Allah akan membalas ejekan-ejekan mereka, adalah sebagai balasan balik yang sama terhadap buruknya perbuatan mereka dan mempersendakan orang-orang mukmin, kerana suatu balasan adalah mengikut jenis perbuatannya. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim)

7. Kita juga dapati dasar yang sama ini dalam undang-undang jenayah Islam, antaranya ialah hukum potong tangan bagi seorang pencuri yang cukup syarat-syaratnya sebagaimana yang Allah SWT tetapkan hukumannya dalam surah al-Maidah ayat 38 menerusi firmanNya:
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegahan daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah maha berkuasa, lagi maha bijaksana.

8. Ibn Kathir (774H) menegaskan:
Iaitu sebagai balasan terhadap perbuatan buruk kerana mengambil harta manusia dengan kedua-dua tangannya, maka sesuai dipotong tangan yang membantunya itu, dan balasan adalah mengikut jenis perbuatannya. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim)

9. Malah jika seseorang melakukan sesuatu yang menyusahkan orang lain yang bukan daripada kesalahan jenayah, Allah Azza wa Jalla maha berkuasa untuk membalas perbuatan tersebut dengan menyusahkan urusan hidup kita. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:
Barangsiapa yang melakukan suatu mudharat kepada orang lain maka Allah akan memudharatkan dengannya, dan barangsiapa yang menyusahkan maka Allah akan menyusahkan ke atasnya. (Riwayat Tirmizi)

10. Bagi orang yang beriman yang melakukan kebaikan pula, Allah Azza wa Jalla menyediakan pahala dan ganjaran baik sebagai balasan terhadap kebajikan yang mereka kerjakan. Inilah janji Allah SWT kepada orang yang beriman, firmanNya dalam surah al-Rahman ayat 60 bermaksud:
Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?

11. Kebaikan akan dibalas dengan kebaikan merupakan dasar yang mudah untuk kita fahami. Jika kita terus meneliti ayat-ayat yang lain pasti kita akan dapati dasar yang sama ini. Balasan yang baik dari segi pahala dan ganjaran baik daripada Allah SWT adalah sama dengan kebaikan yang kita kerjakan. Antaranya jika kita tunaikan janji, maka Allah SWT akan tunaikan janjiNya (al-Baqarah ayat 40), jika kita mengingati Allah SWT maka Allah SWT akan mengingati kita (al-Baqarah ayat 152) dan jika kita membantu agama Allah Azza wa Jalla maka Allah Azza wa Jalla akan membantu kita (Muhammad ayat 7). Sebab itu Ibn al-Qaiyim (752H) menyatakan:
Ini kerana suatu balasan itu adalah mengikut jenis perbuatannya, maka sebagaimana mereka melakukan kebajikan dengan amalan-amalan mereka, maka Allah berbuat baik terhadap mereka dengan rahmatNya. (Ibn al-Qaiyim, Bada’ie al-Fawa’id)

12. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa nabi SAW bersabda:
Barangsiapa melepaskan suatu kesusahan daripada seseorang muslim maka Allah melepaskannya dengannya daripada kesukaran hari kiamat, dan barangsiapa menutup (aib) seorang muslim maka Allah akan menutup (aibnya) pada hari kiamat. (Riwayat al-Bukhari)    

13. Demikianlah prinsip balasan kebaikan atau keburukan. Di antara hakikat kehidupan dan sunnatullah yang mempunyai kaitan yang sangat rapat. Semuanya menunjukkan keadilan dan rahmat Allah Azza wa Jalla terhadap hamba-hambaNya. Adilnya Allah SWT memasukkan syurga mereka yang diredhainya dengan amalan kebajikan yang ikhlas. Adil juga Allah SWT memasukkan neraka mereka yang melakukan kezaliman dan tidak mendapat keampunannNya. Ini juga adalah berita gembira bagi mereka yang dizalimi di atas muka bumi ini untuk mendapat pengadilan yang sebenarnya di akhirat kelak. Ramai yang tertindas tidak mendapat haknya, mungkin di dunia akan menderita tetapi bakal berbahagia di akhirat nanti dengan kebahagiaan yang kekal. Bagi penzalim yang menindas orang lain mungkin bergembira di dunia ini tetapi sebentar cuma, kerana bakal menderita dengan penderitaan yang kekal di akhirat kelak.

14. Oleh itu, bagi pemerintah dan pemimpin buatlah kebaikan agar bakal mendapat balasan kebaikan daripada rakyat. Kita sebagai anak-anak pula buatlah kebaikan dan hormatilah kedua orang tua kita, agar anak-anak kita kelak melakukan kebaikan kepada kita. Anak-anak murid perlu menghormati guru dan pensyarah agar kelak kita mendapat penghormatan daripada anak-anak murid kita. Berkawan juga perlu baik dan betul mu’amalahnya, agar kawan tidak mengkhianati kita kelak.

15. Kesimpulannya, buatlah kebaikan kerana balasannya adalah kebaikan. Jika tidak mampu lakukan kebaikan maka jangan sesekali melakukan kejahatan kerana ia lebih menyakitkan. Namun yang lebih penting adalah lakukanlah kebaikan tanpa mengharap sebarang balasan, kerana balasan kebaikan bukan daripada urusan kita.


Anhar Opir
12 Zul-Hijjah 1432H
Sweileh, Amman

4 ulasan:

  1. Syukran atas pencerahan nya ustaz,
    semoga diri ini berusaha ke arah sifat-sifat taqwa yang ada dinyatakan didalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5.

    Wallahua'lam...

    BalasPadam
  2. Pengamanah Agama Allah: jazakallah khairan, ameen

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah. Sedikit sebnyk dapat saya manfaatkan almu yang baru sahaja saya bace ini. amin..

    BalasPadam