Sabtu, 6 Ogos 2011

ADAKAH KITA TIDAK TADABBUR AL-QUR’AN?


1. Sesungguhnya al-Qur’an yang menjadi kitab petunjuk dan keterangan adalah seumpama ruh bagi jasad, dan elektrik bagi alam ini, yang perkara-perkara ini hanya diketahui atau dirasai melalui tanda dan kesan-kesannnya. Sukar untuk diterangkan dan didefinisikan ruh dan elektrik, apatah lagi hakikatnya. Tetapi kita akan mengetahui kewujudannya apabila melihat manusia yang hidup, mampu berjalan dan berkata-kata. Begitu juga dengan alatan elektrik yang dapat berfungsi dengan baik adalah tanda wujudnya elektrik. Demikianlah al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah SWT yang maha mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi, akal manusia sangat lemah untuk mengetahui semuanya melainkan dengan pemerhatian, kajian dan tadabbur.


2. Ayat-ayat al-Qur’an adalah gabungan lafaz yang mempunyai rahsia dan pengertian yang hebat. Kelembutannya menjadikan kita asyik dan menikmatinya. Jika ia meceritakan perihal neraka dan azab Allah SWT pula menjadikan kita takut, gementar dan bimbang. Terdapat lafaznya yang lebih segar dan sedap daripada air sejuk yang menghilangkan dahaga orang yang kehausan. Cahaya hidayahnya bagi seorang mukmin agar melalui jalan menuju kebaikan dan keamanan, lebih terang daripada pancaran cahaya matahari. Seorang alim bernama Jarir bin Abdullah berkata:
Aku berpesan kepada kamu semua agar takutkan Allah SWT. Aku juga berpesan agar kamu sentiasa dengan al-Qur’an, sesungguhnya ia adalah cahaya pada waktu malam yang gelap, petunjuk pada waktu siang. (Ibn ‘Asakir, Siyar A’lam al-Nubala’)

3. Dengan al-Qur’an, Allah Azza wa Jalla mengangkat dan meninggikan satu kaum, dan dengan al-Qur’an juga Dia merendahkan yang lain. Diriwayatkan bahawa Nafi’ bin Abd al-Harith meminta maula Abd al-Rahman bin Abza menggantikannya menjaga kota Mekah sewaktu dia keluar ke ‘Usfan untuk bertemu dengan khalifah Umar al-Khattab, lalu dia ditanya:
Siapakah yang engkau lantik menggantikanmu terhadap penduduk Mekah? Dia (Nafi’) menjawab: Ibn Abza. Umar berkata: Siapakah Ibn Abza? Dia menjawab: Maula daripada maula kami. Umar bertanya: Kamu lantik seorang maula? Dia menjawab: Dia (Ibn Abza) adalah seorang yang alim tentang kewajipan yang difardhukan, dan dia adalah seorang yang sentiasa membaca al-Qur’an. Umar berkata: Sesungguhnya nabi kamu bersabda: Sesungguhnya al-Qur’an ini, Allah mengangkat dengannya satu kaum, dan merendahkan dengannya yang lain. (Riwayat Muslim)  

4. Percakapan yang paling indah dan mulia, dan majlis yang paling baik adalah yang terdapat di dalamnya ayat-ayat al-Qur’an. Ia akan menjadi lebih baik dan indah jika dilakukan tadabbur, kerana ia adalah tujuan utama al-Qur’an diturunkan. Firman Allah SWT dalam surah Sod ayat 29 bermaksud:
(Al-Qur'an ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad). Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti (tadabbur) kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal mengambil iktibar.

5. Allah Azza wa Jalla juga meminta kita memerhati, meneliti dan tadabbur setiap ayat al-Qur’an untuk menolak keraguan bahawa ia bukan datang daripada Allah, kerana manusia tidak akan mampu mencipta seumpamanya walau satu ayat sekalipun. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 82 bermaksud:
Adakah mereka tidak mahu memikirkan (tadabbur) isi al-Qur’an? Kalaulah al-Qur’an itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan (pertentangan fakta) yang banyak di dalamnya.

6. Oleh sebab itu Allah SWT mencabar mereka yang menolaknya, agar mendatangkan seumpama al-Qur’an jika mereka mampu. Cabaran ini terbuka sejak al-Qur’an diturunkan ketika manusia hidup dalam keadaan sederhana, sehinggalah sekarang yang kehidupan manusia sudah kompleks dengan kecanggihan teknologi maklumat, globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 38:
Ataukah mereka mengatakan: Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan al-Qur'an menurut rekaannya. Katakanlah (wahai Muhammad): Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang seumpama dengan al-Qur'an itu, dan panggillah sesiapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar.

Terdapat di dalam al-Qur’an segala ilmu yang bermanfaat
7. Al- Qur’an sifatnya adalah sebagai kitab petunjuk, tidak seperti buku-buku sejarah, catatan perjalanan dan buku sains. Namun kita dapati ketepatan fakta sejarah dan kebenaran sains wujud dalam al-Qur’an. Diriwayatkan bahawa Masruq menyatakan kepada sesiapa yang ingin mengetahui ilmu tentang generasi dahulu dan yang kemudian, begitu juga dunia dan akhirat maka hendaklah membaca surah al-Waqi’ah. Imam al-Zahabi (748H) memberikan komentar tentang pernyataan ini, katanya:
Apa yang diperkatakan oleh Masruq ini adalah mubalaghah (ada makna tersirat), kerana hebatnya kandungan surah tersebut yang menghimpunkan perkara-perkara dunia dan akhirat. Adapun maksud kata-katanya ‘maka hendaklah membaca surah al-Waqi’ah’ ialah dengan tadabbur, tafakkur dan menghadirkan hati, bukannya seperti keldai yang membawa kitab. (Ibn ‘Asakir, Siyar A’lam al-Nubala’)

8. Terdapat pelbagai disiplin ilmu wujud di dalam al-Qur’an. Secara umumnya ia terbahagi kepada tiga kategori yang besar iaitu akidah, syariah dan akhlak. Semuanya diterangkan dalam al-Qur’an guna menjadi pedoman dan rahmat, anugerah Allah SWT kepada seluruh makhluk. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Nahl ayat 89:
Dan Kami turunkan kepadamu al-Qur'an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam.

Kaedah dan langkah-langkah untuk tadabbur
9. Allah SWT menyuruh kita untuk melakukan tadabbur terhadap al-Qur’an. Inilah peluang yang perlu kita rebut sempena bulan Ramadhan, bulan al-Qur’an ini. Sambil membacanya ketika bertadarus, teliti dan amat-amatilah setiap ayat, hujjah, ilmu dan kebenaran yang terkandung di dalamnya. Jadi’ tadabbur ayat al-Qur’an adalah dengan meneliti maknanya, memikirkan yang tersurat dan tersirat, prinsip-prinsip utama, sebab dan akibat serta kemestian dan kesinambungannya. Kita perlu bimbang dengan hati yang terkunci yang tidak mahu untuk tadabbur ayat-ayat al-Qur’an. Firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 24:
Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan (tadabbur) isi al-Qur'an? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Qur'an)?

10. Di samping itu, al-Qur’an yang kita baca ini diturunkan dalam bahasa Arab yang mempunyai kaedah nahu dan gaya bahasanya yang tersendiri. Tidak dapat tidak kita perlu memahaminya terlebih dahulu sebelum melakukan tadabbur. Sesiapa yang tidak memahami bahasa Arab, maka sukar untuk melakukan tadabbur dengan baik. Oleh itu, beberapa langkah yang boleh membantu untuk tadabbur selepas ilmu bahasa Arab, adalah seperti berikut:
Langkah 1: kosongkan hati daripada selain Allah dan fokus
11. Ketika kita membaca al-Qur’an hendaklah dalam keadaan fokus, hati yang tidak sibuk dan hendaklah dikosongkan daripada semua perkara selain Allah Azza wa Jalla. Hati juga mesti merindui dan mengasihi al-Khaliq serta mempunyai keinginan yang kuat untuk memahami setiap ayat yang dibaca. Firman Allah SWT dalam surah Qaf ayat 37:
Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar ketika membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadaNya.

Langkah 2: baca dengan tartil
12. Kita hendaklah membaca al-Qur’an dengan tartil, memperelokkan suara, dan datangkan perasaan sedih. Kita dapat merasakan suatu kelainan jika mendengar bacaan al-Qur’an daripada seorang qari’ yang mahir dan mempunyai suara yang baik. Rasulullah SAW sendiri beberapa kali mendengar bacaan al-Qur’an oleh Abu Musa. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda kepada Abu Musa yang bermaksud:
Sesungguhnya engkau dianugerahkan seruling daripada seruling-seruling keluarga Daud. (Riwayat Tirmizi)

13. Mengetahui tajwid dan memperbetulkan bacaan kita di hadapan syeikh yang pakar adalah sangat penting untuk mendapatkan kemahiran bacaan tartil. Ini kerana tajwid berfungsi memberikan hak kepada setiap huruf hak-haknya.  

Langkah 3: datangkan rasa kebesaran Allah
14. Ia boleh berlaku dengan mewujudkan rasa bahawa Allah Azza wa Jalla sedang berbicara dengan kita melalui al-Qur’an, seolah-olah kita sedang mendengarnya daripada Allah SWT sekarang. Jika sampai di peringkat ini, maka kita akan merasai kelazatan al-Qur’an. Terdapat sedikit perbezaan dengan solat, kerana dalam solat kita mengadu, memohon, bercakap dan berdialog dengan Allah. Sebaliknya ketika kita membaca al-Qur’an, maka Allah SWT sedang bercakap dan berdialog dengan kita. Salmi al-Khawas berkata:
Aku berkata kepada diriku: Bacalah al-Qur’an seakan-akan engkau mendengarnya daripada Allah secara langsung, maka akan datang kelazatan. (Ibn ‘Asakir, Siyar A’lam al-Nubala’)   

Langkah 4: cuba memahami maknanya
15. Iaitu dengan merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar. Terdapat pelbagai jenis tafsir, utamakanlah yang bi al-ma’thur (berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith) daripada  bi al-ra’yi (berdasarkan pandangan). Dalam peringkat pertama ini mungkin kita fokuskan tafsir yang menekankan kefahaman makna, tanpa perincian yang mendalam dalam aspek bahasa. Contohnya tafsir al-Qurtubi (671H) dan Ibn Kathir (774H). Namun, jika kita ada kemampuan untuk merujuk kitab-kitab tafsir lain, ia lebih baik.

Langkah 5: kaitkan dengan keadaan kita
16. Iaitu dengan melihat segala peringatan yang ada dalam ayat al-Qur’an dan kisah-kisah yang diketengahkan. Begitu juga dengan faktor kehancuran kebanyakan umat yang disebabkan oleh pendustaan dan penolakan ajaran yang dibawa oleh para nabi yang diutuskan kepada mereka. Akibat dan balasan ini akan menimpa kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sifat pendustaan dan penolakan yang sama, walau sekuat dan sehebat mana seseorang itu.

17. Kita juga hendaklah mengamalkan segala hukum yang terkandung di dalamnya. Sebagai contoh, kita hendaklah berhenti daripada bercakap yang tidak betul dan tiada manfaat kerana semuanya akan dicatat, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Qaf ayat 18 bermaksud:
Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menulisnya).

18. Inilah yang dilakukan oleh para sahabat, mereka akan membaca al-Qur’an dan memahaminya. Tidak akan berganjak kepada ayat berikutnya melainkan selepas mengamalkan ayat yang sebelumnya. Diriwayatkan daripada ‘Ato’ bin al-Sa’ib bahawa Abu Abd al-Rahman al-Sullami berkata:
Kami mengambil al-Qur’an daripada satu kaum yang memberitahu kami bahawa apabila mereka mempelajari sepuluh ayat, mereka tidak akan melewatinya kepada sepuluh ayat yang lain, sehinggalah mereka mengetahui maknanya. Adapun kami mempelajari al-Qur’an dan mengamalkannya. (Ibn ‘Asakir, Siyar A'lam al-Nubala’)

Langkah 6: mengetahui sebahagian kajian ilmiah berkaitan
19. Kita juga perlu mengetahui sebarang kajian ilmiah yang berkaitan, yang menggunakan kaedah eksperimen dan pembuktian untuk mendapat faedah yang lebih. Dapatan secara emparikal ini dapat membantu menambahkan lagi kefahaman terhadap makna ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 53 bermaksud:
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas nyata kepada mereka bahawa al-Qur'an adalah benar. Belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

20. Oleh yang demikian, sebagaimana dituntut kepada kita menghidupkan bulan al-Qur’an ini dengan memperbanyakkan membacanya, maka kita juga diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla untuk tadabbur memerhatikan makna isi kandungan ayat al-Qur’an yang kita baca. Dengan tadabbur, menjadikan kita lebih yakin dan menambahkan keimanan kita. Ia juga sebagai medium untuk mendapatkan ilmu yang tulen, lalu menolak dan menghumban segala keraguan, yang akhirnya membawa kepada jiwa yang tenang dan sejahtera insyaAllah.

21. Kesimpulannya, kesan tadabbur al-Qur’an membawa kepada kebaikan yang banyak. Namun, kita yang merasakan telah banyak membaca dan tadarus al-Qur’an, tetapi masih lagi tidak berubah ke arah yang lebih baik. Adakah kita tidak tadabbur al-Qur’an?.


Anhar Opir
7 Ramadhan 1432
Sweileh, Amman

2 ulasan:

  1. salam ustaz,
    Ramadhan Kareem...

    "Kita juga perlu mengetahui sebarang kajian ilmiah yang berkaitan, yang menggunakan kaedah eksperimen dan pembuktian untuk mendapat faedah yang lebih.."
    akan berusaha ke arah itu insyaAllah..
    syukran ustaz.

    BalasPadam
  2. Nurul Shuhada: Allahu akram. didoakan insyaAllah

    BalasPadam