Ahad, 26 Jun 2011

NABI SAW BERIJTIHAD

1. Ijtihad adalah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud memerah tenaga dan usaha untuk mendapatkan sesuatu, iaitu untuk mengetahui suatu hukum yang tidak terdapat dalil yang qat’ie. Pintu ijtihad ini sentiasa terbuka untuk memenuhi tuntutan hidup manusia yang sentiasa berkembang dengan permasalahan yang baharu, sedangkan wahyu al-Qur’an dan dan al-Hadith sudah terputus dengan wafatnya nabi SAW. Persoalannya ialah adakah nabi SAW juga berijtihad dalam perkara-perkara tertentu sewaktu hidupnya?

2. Persoalan ini timbul kerana nabi SAW sentiasa diperteguhkan dengan wahyu dalam banyak perkara. Jika ada persoalan yang timbul atau peristiwa yang berlaku pasti wahyu akan turun bagi menjelaskannya terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan akidah dan juga fakta-fakta kejadian silam. Maka nabi SAW tiada keperluan untuk berijtihad. Tambahan pula semua perkataan nabi SAW dianggap wahyu, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Najm ayat 3-4 yang bermaksud:
Dan tiadalah yang diucapkannya (Muhammad SAW) itu (al-Qur’an) menurut keinginannya.  Tidak lain adalah  wahyu yang diwahyukan (kepadanya).

3. Maksud ayat di atas adalah al-Qur’an bukannya semua perkataan nabi SAW. Maka Jumhur ulama’ menyatakan bahawa nabi SAW berijtihad jika ada keperluan, bahkan nabi SAW adalah manusia yang paling layak untuk berijtihad kerana mencukupi semua syarat. Sedangkan syarat-syarat seorang mujtahid itupun dibuat selepas kewafatan nabi SAW untuk mengelakkan seorang yang tiada kelayakan mendakwa dia berijtihad.

4. Pendapat yang mengatakan bahawa wahyu sudah mencukupi bagi nabi SAW tanpa perlu berijtihad adalah betul dengan syarat sekiranya wahyu sentiasa turun untuk setiap peristiwa dan keadaan, atau setiap kali ada pertanyaan. Namun hakikatnya ia tidak begitu, kerana kita dapati banyak kali nabi SAW diajukan dengan pertanyaan, sedangkan wahyu tidak turun beberapa hari dan nabi SAW telah menjawabnya, contohnya dalam surah al-Kahfi ayat 23-24. Begitu juga banyak kali nabi SAW berhadapan dengan pelbagai peristiwa, namun wahyu tidak turun kepadanya, seperti dalam peristiwa al-Ifki dalam surah al-Nur ayat 11.

5. Terdapat peristiwa lain yang menunjukkan bahawa nabi SAW berijtihad; di antaranya ialah ijtihad nabi SAW dalam masalah tawanan peperangan Badar al-Kubra, ijtihad nabi SAW mengizinkan beberapa orang munafik tidak menyertai peperangan Tabuk dan juga ijtihad nabi SAW yang tidak melayan Abdullah bin Ummi Maktum ketika sedang berdakwah dengan pembesar Musyrikin Mekah. Semua ini berlaku tanpa adanya wahyu yang turun, buktinya nabi SAW ditegur oleh Allah Azza wa Jalla selepas itu.

6. Apabila harus bagi nabi SAW berijtihad maka harus juga berlaku kurang tepatnya ijtihad nabi SAW dalam sesuatu perkara sebagaimana para mujtahidin yang lain. Namun kurang tepatnya ijtihad nabi SAW ini akan segera diperbetulkan, kerana nabi SAW tidak akan kekal dan berpanjangan dalam kesilapan. Imam al-Isnawi (772H) berkata:
Sesungguhnya boleh berlaku kesilapan (ijtihad) ke atasnya (nabi SAW) dengan syarat tidak berterusan atas kesilapan itu… Ini bermakna, kesilapan sesuatu yang ada kemungkinan pada peringkat awal, namun nabi SAW dengan segera akan memperbetulkannya setelah mendapat teguran daripada Allah Azza wa Jalla. (al-Isnawi, Nihayatu al-Sul fi Syarhi al-Minhaj)

7. Boleh jadi ada yang terkejut dan tidak bersetuju apabila nabi SAW dikaitkan dengan kesilapan kerana menyangka bahawa kesilapan itu adalah satu kesalahan dan dosa yang boleh menafikan ma’sumnya nabi SAW. Sebenarnya perkataan ‘silap’ yang disebutkan oleh para ulama’ bukanlah dengan maksud itu, sebaliknya ia bermaksud tidak bertepatan ijtihad nabi SAW dengan kesempurnaan yang pasti pada ilmu Allah Azza wa Jalla. Ia langsung tidak menafikan ma’sumnya nabi SAW, bahkan nabi SAW mendapat pahala daripada Allah SWT atas ijtihadnya. Inilah yang menjadi ikutan para ulama’ yang akan berijtihad pada perkara yang tiada dalil qat’ie padanya.

8. Dalam keadaan kedudukan nabi SAW yang sangat tinggi berbanding manusia biasa, nabi SAW tetap dan sentiasa beristighfar kepada Allah SWT, sabdanya bermaksud:
Sesungguhnya ia adalah gangguan dalam hatiku, sesungguhnya aku akan beristighfar kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari. (Riwayat Muslim)

9. Pernah berlaku, ijtihad nabi SAW diperbetulkan oleh wahyu Allah Azza wa Jalla. Al-Qurtubi (671H) dalam tafsirnya al-Jami' Li Ahkam al-Qur'an, menyatakan tentang kisah Khaulah binti Tha’labah yang telah mengadu kepada nabi SAW tentang zihar yang dilakukan oleh suaminya, nabi SAW besabda:
Tidak aku melihat melainkan engkau haram ke atasnya (tertalak). (Riwayat al-Bukhari)

10. Maka turunlah ayat yang menyatakan hukum yang lain daripada ijtihad nabi SAW iaitu dikenakan kaffarah bukannya berlaku talak (perceraian). Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat :
Dan orang-orang yang menzihar isterinya, kemudian menarik kembali apa yang telah mereka ucapkan, maka (mereka diwajibkan) memerdekakan seorang hamba sebelum kedua mereka (suami isteri) bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepadamu,  dan Allah maha teliti apa yang kamu kerjakan. Maka barangsiapa tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Tetapi barangsiapa tidak mampu, maka hendaklah memberi makan enam puluh orang miskin.

11. Allah Azza wa Jalla maha berkuasa untuk menjadikan semua ijtihad nabi SAW adalah bertepatan dengan ilmuNya, tanpa memungkinkan kesilapan dan kesalahan, kerana ia lebih dekat dengan ma’sumnya nabi SAW. Namun Allah Azza wa Jalla menghendaki yang lain daripada itu dan pastinya ada hikmah yang tersendiri di sebaliknya. Hikmah itu ialah supaya ia menjadi bukti kerasulan nabi SAW.

12. Bayangkan jika semua ijtihad nabi SAW sentiasa betul dan tepat dengan ilmu Allah SWT, maka hilang dan tenggelamlah segala bukti kerasulan nabi SAW. Manusia akan menyangka nabi SAW bukan seorang rasul utusan Allah SWT yang tugasnya hanya menyampaikan. Mereka juga akan mengatakan bahawa al-Qur’an bukan datang daripada Allah SWT, bahkan adalah ciptaan dan rekaan nabi SAW semata-mata.

13. Adalah menjadi hikmah Ilahiyah, Allah SWT menjadikan wahyu itu terputus dan tidak turun kepada nabi SAW dalam tempoh tertentu. Ia berlaku pada waktu yang nabi SAW sangat memerlukan wahyuNya, bertujuan untuk menonjolkan kemanusiaan nabi SAW serta menampakkan amanahnya nabi SAW dalam menyampaikan wahyuNya. Ini juga membuktikan bahawa wahyu bukan milik nabi SAW dan ia juga bukan perasaan dalaman serta ilhamnya. Sesiapa yang menghalusi perkara ini akan meyakini firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 16:
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika Allah mengkehendaki, nescaya Aku tidak  membacakannya kepadamu, dan Allah tidak (pula) memberitahukannya kepadamu; Aku telah tinggal bersamamu beberapa lama sebelumnya (sebelum turun al-Qur’an). Apakah kamu tidak mengerti?

14. Nabi SAW pernah berulangkali menasihati anak angkatnya Zaid bin Harithah agar terus bersama isterinya dan menyelesaikan perselisihan yang berlaku di antara mereka berdua. Rasulullah SAW ingin menyembunyikan wahyu yang menyatakan Zaid bakal menceraikan isterinya lalu Allah memerintahkan nabi SAW agar mengahwini bekas isteri Zaid selepas itu, kerana Allah ingin membatalkan hukum berkaitan anak angkat yang telah diamalkan sejak zaman Jahiliyah dengan hukum yang lain. Nabi SAW pula bimbang dengan kata-kata orang ramai yang bakal dilemparkan kepadanya. Maka turun firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 37 bermaksud:
Dan (ingatlah), ketika engkau (Muhammad SAW) berkata kepada orang yang telah diberi nikmat oleh Allah dan engkau (juga) telah memberi nikmat kepadanya: Pertahankanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah, sedang engkau menyembunyikan di dalam hatimu apa yang akan dinyatakan oleh Allah, dan engkau takut kepada manusia, padahal Allah lebih berhak engkau takuti, maka ketika Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami nikahkan engkau dengan dia (Zainab) agar tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (menikahi) isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya terhadap isterinya. Dan ketetapan Allah itu pasti terjadi.

15. Ayat ini adalah dalil terbesar menunjukkan amanahnya nabi SAW sebagai seorang utusan Allah SWT, kerana melibatkan diri nabi SAW sendiri. Diriwayatkan bahawa ‘Aisyah RA berkata yang bermaksud:
Kalaulah Muhammad SAW itu menyembunyikan sesuatu daripada apa yang diturunkan kepadanya, nescaya dia akan menyembunyikan ayat ini. (Riwayat al-Bukhari)

16. Kesimpulannya, nabi SAW berijtihad jika ada keperluan. Kesilapan ijtihad nabi SAW yang kemudiannya diperbetulkan menjadi bukti paling kukuh bahawa al-Qur’an bukannya ciptaan nabi SAW. Tiada keraguan pada al-Qur’an datangnya daripada Allah SWT, yang mesti dilaksanakan isi kandungannya.

6 ulasan:

  1. ~halawati~: jazakillah khairan

    BalasPadam
  2. Salam, pertanyaan,

    adakah hukuman zihar itu hanya ditaklifkan pada si suaminya sahaja?

    BalasPadam
  3. Salam ustaz,

    sebagai orang awam seperti kami ni, sekiranya dalam sesuatu isu yang sama, ada 2 org ulamak (yang diiktiraf keilmuannya) mempunyai 2 ijtihad yang beza, adakah salah untuk kami follow salah satu daripadanya sahaja yang paling mudah untuk kami?

    BalasPadam
  4. Pengamanah Agama Allah: naam untuk suami sahaja sebab zihar hanya dilakukan oleh suami yang menyamakan isterinya dengan ibunya. wallahu a'lam

    BalasPadam
  5. awang: boleh dan tiada masalah dengan syarat dipastikan yang lebih tepat bukan yang paling mudah. Perlu dilihat juga dalam mazhab yang sama untuk mengelakkan kecelaruan kerana setiap mazhab mempunyai kaedah dan prinsip tersendiri dalam mengeluarkan hukum. wallahu a'lam

    BalasPadam