Rabu, 1 Jun 2011

BENARKAH DIA THA’LABAH?

1. Banyak kali kita mendengar kisah yang dikaitkan dengan seorang sahabat nabi SAW yang bernama Tha’labah bin Hatib. Biasanya dalam kuliah maghrib dan Khutbah Juma’at. Tujuannya untuk diambil pengajaran daripadanya agar tidak lupa nikmat Allah SWT, perlunya bersyukur dan lain-lain. Kesannya ia menjadi kisah yang diriwayatkan dalam pelbagai penulisan, tidak ketinggalan tazkirah-tazkirah ringkas di dalam Face Book (FB). Kita tidak ambil kisah tentang kesahihan kisah tersebut, gejala ‘copy paste’ telah berleluasa, jika benar tiada masalah, sebaliknya bagaimana jika kisah itu tidak tepat?, sedangkan ia dinisbahkan kepada seorang sahabat nabi SAW.


2. Tha’labah bin Hatib dikatakan seorang yang enggan membayar zakat lalu dihukumkan munafik. Tha’labah pernah meminta kepada nabi SAW agar mendoakannya supaya Allah SWT menambahkan lagi rezekinya. Namun selepas mendapat rezeki, Tha’labah dikatakan tidak mahu membayar zakat. Walau bagaimanapun dia telah bertaubat akhirnya, tetapi nabi SAW tetap tidak mahu menerima zakatnya. Pada zaman Khalifah Abu Bakar, Umar dan Uthman juga tidak mahu menerima zakatnya kerana nabi SAW tidak menerimanya dahulu. Ia dikaitkan dengan turunnya firman Allah SWT daripada surah at-Taubah ayat 75-76 bermaksud:
Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh. Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka daripada limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).

3. Apabila diteliti, kita dapati nisbah kisah ini kepada Tha’labah terdapat dalam tafsir al-Tabari (310H), dan al-Wahidi (468H) dalam kitab tafsirnya. Ibn Jarir al-Tabari menyatakan:
Berkata sebahagian mereka kepadaku tentangnya (kisah) ialah seorang lelaki yang disebut sebagai Tha’labah bin Hatib daripada al-Ansar… Dia datang ke satu majlis dan berjanji: Jika Allah berikan kepadaku kelebihanNya, aku akan berikan daripadanya sesiapa yang berhak, aku akan bersedekah dan aku akan sambungkan persaudaraan. Maka Allah mengujinya dengan diberikan kelebihanNya kepadanya, tetapi dia memungkiri janjinya dan Allah murka terhadapnya. (Tafsir al-Tabari, Dar al-Fikr, Beirut,  jilid 10, hlmn 188-189)

Al-Wahidi ketika mentafsirkan ayat 75 menyatakan:
Iaitu Tha’labah bin Hatib, yang telah berjanji dengan tuhannya, jika dia diberikan keluasan (rezeki), dia akan memberikan (sedekah) kepada siapa yang berhak. Maka Allah pun memberikan kepadanya, tetapi dia tidak menunaikan janjinya dan enggan membayar zakat. (al-Wahidi, al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-Aziz, Dar al-Qalam, Beirut, jilid 1, hlmn 473-474)  

4. Terdapat juga ulama’ lain yang menyebut dalam kitab tafsir mereka tentang nisbah kisah ini kepada Tha’labah. Begitu juga di dalam al-Mu’jam al- Kabir oleh al-Tabrani. Namun Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menolak kisah ini dan menafikannya, katanya:
Adapun tuan punya kisah ini (Tha’labah bin Hatib), kalaupun sahih khabarnya, tetapi pada pendapatku ia tidak sahih merujuk kepadanya (yang pernah terlibat dengan peperangan Badar). (Ibn Hajar, al-Isobah fi Tamyiz al-Sohabah, Dar al-Jail, Beirut, jilid 1, hlmn 400)

5. Al-Qurtubi (671H) pula selepas membawa pendapat bahawa dikatakan dia adalah Tha’labah bin Hatib, menyatakan:
Allahu a’lam (hanya Allah yang lebih mengetahui), dan segala yang datang menyatakan lelaki tersebut adalah yang pernah terlibat dalam peperangan Badar maka ia bertentangan dengan firman Allah SWT (iaitu al-Taubah ayat 77). (al-Qurtubi, Jami’ li Ahkam al-Qur’an)  

6. Para ulama’ hadith pula memberikan komen terhadap sanad hadith bagi kisah tersebut. Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menyatakan Isnadnya sangat dhaif, manakala al-Dzahabi (748H)menyebut dalam kitabnya Tajrid Asma’ al-Sahabah ketika menceritakan riwayat hidup Tha’labah bin Hatib, mengisyaratkan bahawa mereka menyebut hadith yang munkar.

7. Kisah ini juga bercanggah dengan nas syara’, kerana Allah Azza wa Jalla menerima taubat hambanya jika bertaubat. Maka kisah ini bercanggah dengan umumnya dalil yang menyatakan Allah SWT maha pengampun bagi sesiapa yang bertaubat. Kalaupun benar Tha’labah bertaubat pastinya Allah Azza wa Jalla maha menerima taubatnya. Banyak ayat al-Qur’an yang menyatakan Allah maha pengampun. Terdapat hadith nabi SAW yang menyebut bahawa Allah SWT akan menerima taubat seseorang selagi mana matahari belum terbit daripada sebelah barat. Diriwayatkan juga daripada Ibn Umar RA bahawa nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah SWT menerima taubat seorang hamba selagi mana (nyawa) belum sampai ke tenggorokan. (Riwayat Tirmizi’)

8. Jika benar nisbah kisah ini, bermakna kita menghukum Tha’labah yang merupakan seorang sahabat nabi SAW sebagai mukmin yang tidak baik bahkan terjerumus mengkategorikannya sebagai seorang munafik berdasarkan ayat 77 surah al-Taubah. Adakah layak?! Sedangkan sahabat ini pernah terlibat dengan peperangan Badar al-Kubra pada tahun kedua Hijrah. Mereka yang terlibat dalam peperangan ini mendapat kedudukan yang sangat istimewa. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa nabi SAW bersabda tentang seorang ahli Badar:
Sesungguhnya dia salah seorang yang terlibat dalam peperangan Badar, tiada siapa yang tahu, mungkin Allah SWT mengetahui (isi hati) mereka lalu berfirman: Lakukanlah apa sahaja yang kamu hendak, telah Aku ampunkan kamu semua. (Riwayat al-Bukhari)

9. Selain itu, kisah ini juga bertentangan dengan hukum syara’ yang berkaitan dengan mereka yang enggan membayar zakat. Islam memberikan peruntukan kepada pihak pemerintah Islam boleh mengambil zakat mereka walau dengan cara paksa, kerana ia melibatkan kewajipan yang telah difardhukan oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Bahz bin Hakim daripada ayahnya dan datuknya bahawa nabi SAW bersabda:
Barangsiapa membayarnya (zakat), baginya ganjaran, dan barangsiapa yang enggan membayarnya (zakat) maka kami akan mengambilnya. Dan sebahagian daripada hartanya adalah kewajipan Allah SWT, tiada sedikitpun untuk keluarga Muhammad. (Riwayat Abu Daud)

10. Kesimpulannya, para sahabat mempunyai kedudukan yang tinggi terutamanya mereka yang pernah terlibat dengan peperangan Badar al-Kubra. Boleh jadi ada lelaki lain yang namanya serupa. Adalah lebih telus dan selamat tidak menyebut namanya secara khusus kerana yang penting adalah pengajarannya, beramal dengan kaedah:
العبرة بالمسمى لا بالأسماء

7 ulasan:

  1. Jazakallah Ust..sahabat-sahabat yg sempat bersama NAbi SAW tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT,lagi-lagi Ahlul Badr..apa yg penting isi pengajaran yg disampaikan :)
    العبرة بالمسمى لا بالأسماء

    BalasPadam
  2. syukran, ustaz....baru 2 hr lepas dngr kisah tha'labah ini...

    BalasPadam
  3. السلام عليكم

    Ustaz.....
    adakah kisah Tha’labah bin Hatib dikatakan seorang yang enggan membayar zakat lalu dihukumkan munafik boleh dianggap sbg kisah Israilyyat...?

    BalasPadam
  4. Haiyyi Mohamad: jazakallah khairan

    BalasPadam
  5. IN THE EYES OF ALLAH: jazakillah khairan

    BalasPadam
  6. aqwa.art: Ia bukan Israiliyat. Menurut dr. Muhammad Husin al-Dzahabi Israiliyat bermaksud: kisah atau peristiwa yang bersumberkan daripada orang Yahudi dan Nasrani (rujuk al-Dzahabi, al-Israiliyat wa al-Maudhu'at fi al-Tafsir wa al-Hadith), iaitu selepas mereka masuk Islam. Adapun kisah Tha'labah adalah kerana kekeliruan menisbahkan kisah kepada seseorang. wallahu a'lam

    BalasPadam