Khamis, 17 Mac 2011

BERSABAR UNTUK SABAR

1. Ramai yang memberikan pandangan ketiga sewaktu saya menyatakan akan menyambung pengajian ke Jordan. Mereka menyatakan sukarnya berhadapan dengan ‘perangai’ orang Arab. Ada juga yang menyatakan sistem yang 'faudho' (tidak teratur). Tidak kurang juga yang menyatakan bahawa saya perlu ambil subjek yang jumlahnya bukan sedikit sebelum menulis tesis, maka sepatutnya saya ke negara lain. Namun terdapat juga mereka yang memberi galakan kepada saya sambil berpesan: “Ustaz perlu bersabar nanti ye, dan semoga berjaya…”.
2. Kepada mereka semua, saya ucapkan terima kasih atas segala nasihat dan pesanan yang berharga. Bayangan cabaran yang belum boleh saya bayangkan walaupun sudah punyai pengalaman belajar di Mesir sebelum ini. Jika di Mesir memang saya perlu bersabar untuk semua urusan di samping tidak putus asa, beratur panjang untuk membuat visa tetapi bila sampai giliran saya, pegawai berkata kaunter ditutup dan sila datang esok, serta bermacam-macam lagi yang menuntut kesabaran yang maksimum.
3. Walaupun kita selalu menggelengkan kepala berhadapan dengan ‘perangai’ Arab dan sistem mereka yang ‘faudho’, rupa-rupanya saya juga terpaksa menggelengkan kepala ketika berhadapan dengan ‘perangai’ dan ‘faudho’ ketika menguruskan cuti tanpa gaji isteri saya sebelum berangkat ke Jordan. Setiap orang ada pengalaman masing-masing, ada yang diuji dengan perangai manusia dan ada yang diuji kerana perubahan sistem, seperti tarikh latihan mengajar di UPSI yang telah diawalkan daripada bulan Julai kepada Mei tahun ini. Ramai yang memberitahu saya sambil mengeluh “Kenapa diubah, saya dah susun jadual saya” dan “Mengapa asyik kami sahaja yang jadi bahan ujikaji”, dengan nada kesal.
4. Dalam banyak situasi dalam kehidupan ini, kita dituntut untuk bersabar, kerana kehidupan itu sendiri adalah sebagai ujian kepada manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 1-2 yang bermaksud:
Maha suci Allah yang di tanganNyalah segala kerajaan, dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu. Dia yang menjadikan kematian dan kehidupan supaya Dia dapat menguji kamu siapakah yang lebih baik amalannya. Dan Dia maha perkasa lagi maha pengampun.
5. Allah Azza wa Jalla menjadikan kita untuk menguji kita dengan persoalan-persoalan yang kadangkala tiada jawapannya di dunia ini melainkan ketundukan dan penyerahan yang mutlak kepadaNya semata-mata. Oleh itu, kita semua akan diuji oleh Allah SWT, sekiranya ingin tergolong dalam kalangan orang-orang yang benar dan beribadah. FirmanNya dalam surah al-Ankabut ayat 1-3 yang bermaksud:
Alif Lam Miim. Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
6. Kesabaran diperlukan dalam dua perkara iaitu sabar atas kesusahan musibah dan sabar atas pemberian nikmat. Kerana kedua-duanya juga adalah ujian daripada Allah sebagaimana disebutkan dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 35. Sabar atas kesenangan atau nikmat ialah dengan rasa syukur, memuji Allah dan mengagungkanNya. Manakala sabar ke atas bala’ yang menimpa ialah dengan ketenangan, penerimaan dan penyerahan yang pasrah kepada Allah. Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa nabi SAW bertemu dengan seorang wanita yang sedang menangis di satu kubur, lalu nabi berkata kepadanya yang bermaksud:
Wahai wanita, bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Wanita itu terus menjawab: Jauhkan dirimu daripadaku, sesungguhnya engkau tidak mendapat musibah seperti aku. Wanita itu tidak mengenali nabi SAW. Diberitahu kepadanya bahawa dia adalah nabi SAW, lantas wanita itu mendapatkan nabi di rumahnya, dia mendapati bahawa tiada seorang pengawal pun di rumah nabi SAW, lalu berkata kepada nabi: Aku tadi tidak mengenalimu. Jawab nabi SAW: Sesungguhnya sabar itu ialah ketika musibah itu menimpamu. (Riwayat al-Bukhari)
7. Kita perlu jadikan seluruh kehidupan kita (yang merupakan ujian tadi) sebagai ibadah. Belajar sama ada asignment yang perlu disiapkan, berforum, pembentangan dan latihan mengajar sebagai ibadah,  berkeluarga sebagai ibadah, bermasyarakat sebagai ibadah dan bernegara juga sebagai ibadah. Kerana objektif penciptaan manusia dan jin adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya sebagaimana firmanNya dalam surah al-Dzariyat ayat 56. Hakikat ibadah ialah berjaya dalam ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita.
Allah juga mendedahkan sunnatullah ujian ini dalam penciptaan manusia menerusi firmanNya dalam surah al-Insan ayat 2 yang bermaksud:
Sesungguhnya kami jadikan manusia dari setitis mani yang bercampur, Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), (kerana itu) Kami jadikan dia mendengar dan melihat.
8. Oleh itu, Allah menjadikan kita mampu mendengar dan melihat supaya kita berupaya menghadapi ujian daripada Allah SWT. Allah Azza wa Jalla akan menguji setiap makhluk yang hidup dengan segala bentuk kesengsaraan, kesusahan, kesakitan, kepedihan dan seumpamanya termasuklah kematian. Oleh itu, jangan sekali-kali kita menyangka bahawa ujian Allah SWT terhadap kita sebagai tanda kemarahan Allah. Diriwayatkan bahawa ‘Ubadah bin al-Somit berkata kepada anaknya:
Kamu tidak akan merasai hakikat keimanan sehinggalah kamu mengetahui bahawa setiap apa yang menimpa kamu bukan untuk menyalahkan kamu dan setiap kesilapan kamu bukan untuk menimpakan musibah kepada kamu. (Riwayat Abu Daud).
Maka, ujian merupakan sunnatullah terhadap makhluknya. Cuma manusia sahaja yang refleks dengan pelbagai bentuk, ada yang bersabar dan ada yang sebaliknya. Di manakah kita sewaktu membaca firman Allah dalam surah al-Fajr ayat 15 bermaksud:
Adapun manusia jika Allah SWT mengujinya, lalu dimuliakannya dan diberi kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Adapun apabila Allah mengujinya (dengan bentuk yang lain), dihadkan kadar rezekinya, maka dia berkata: Tuhanku telah menghinaku.
9. Sebenarnya terlalu kecil ujian yang Allah berikan kepada kita jika hendak dibandingkan dengan orang lain, bahkan terlalu jauh untuk dibandingkan dengan para nabi. Fatimah RA meriwayatkan bahawa nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, setelah itu orang-orang sesudah mereka. (Riwayat al-Nasaa’ie)
10. Mungkin kita boleh mengambil pedoman daripada Umar bin al-Khattab RA. Dalam satu athar diriwayatkan bahawa Umar berkata: Setiap kali aku ditimpa musibah, aku berfikir empat perkara, dengan demikian jiwaku akan merasa tenang, iaitu:
Pertama: aku berfikir siapakah yang memberikan aku musibah ini? Dia adalah Allah. Maka dengan segera jiwaku menjadi tenang.
Kedua: aku berfikir bahawa Allah mampu menimpakan kepadaku musibah yang lebih besar daripada yang kuhadapi, dan Allah hanya memberikanku setakat ini sahaja, lantas aku memuji Allah atas musibah yang sedikit ini.
Ketiga: aku selalu ingat sabda Rasulullah bermaksud:
Tidaklah seorang mukmin terkena satu duri dan yang lebih besar daripada itu kecuali Allah mengangkatnya satu darjat atau menghapuskan daripadanya satu dosa. (Daripada ‘Aisyah, Riwayat Muslim)
Keempat: aku berfikir bahawa musibah yang terjadi adalah di dunia dan bukannya di akhirat.
11. Mereka yang bersabar dalam menghadapi ujian akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT.  Allah menjanjikan kepada orang yang bersabar tiga perkara:
Pertama: Mendapat Ma’iyyatullah.
Renungi bersama jawapan nabi Musa kepada pengikutnya menerusi firman Allah dalam surah al-Syu’araa’ ayat 62 yang bermaksud:
Sesungguhnya Tuhanku bersamaku. Dia akan memberi petunjuk kepadaku.
Begitu juga perkataan nabi SAW ketika berada dalam gua sewaktu hijrah sebagaimana firmanNya dalam surah al-Taubah ayat 40 bermaksud:
Ketika dia berkata kepada temannya: janganlah kamu bersedih sesungguhnya Allah bersama kita.
Seterusnya dengan sighah yang hampir sama, Allah Azza wa Jalla berjanji kepada orang-orang yang sabar melalui firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.
Kedua: Mendapat berita gembira.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud:
Dan sungguh Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘inna lillahi wa inna ilaihi roji’uun’, mereka itulah orang yang mendapat (keampunan) dan rahmat daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.
Ketiga: Mendapat ganjaran tanpa had.
Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 10 yang bermaksud:
Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar sahajalah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.
12. Persoalan yang timbul sekarang adalah mengamalkan sabar. Teorinya memang kita sedia maklum, cuma bagaimanakah praktikalnya. Mengingati ini semua dan pesanan rakan-rakan di Malaysia serta kebimbangan mereka, seawal proses pendaftaran di WISE saya terpaksa bersabar ketika berhadapan dengan ‘perangai’ dan ‘faudho’, lalu saya menggelengkan kepala buat ke sekian kalinya. Namun saya bersyukur memuji Allah Azza wa Jalla akhirnya urusan pendaftaran selesai juga. Rupa-rupanya kita juga perlu bersabar untuk sabar.  

18 ulasan:

  1. "bersabar untuk sabar"

    jazakallah khairan ustaz atas pencerahan ilmu.

    BalasPadam
  2. nk sabar pn kena ada ilmu sabar ..nk mkn,nk tido, nk istiqamah, semuanya kena ada ilmu..^^

    BalasPadam
  3. alhamdulillah perkongsian yang bermanfaat, sedkit sbyak mampu menyedarkan kita akan NIkmat yg Allah dikurniakan..syukran ya ustaz

    BalasPadam
  4. nuur diyanah: naam semua perkara memerlukan ilmu, termasuk nak dapatkan ilmu pun perlu ada ilmu.

    BalasPadam
  5. perinduiman: jazakallahu khairan

    BalasPadam
  6. fasobrun jamil~ sungguh sabar itu indah. Subhanallah :)Semoga kita menjadi hambaNya yang bersyukur dan memandang segalanya dari pandangan hikmah. jzkk ust!

    BalasPadam
  7. ahyana solehah: Allahumma ameen, jasakillah khairan.

    BalasPadam
  8. assalamualaikum ya ustaz..apa khabar ustaz dan keluarga ustaz di sana?syukran di atas perkongsian ustaz..begitu bermakna..sabar merupakan kunci kejayaan kepada kita..

    BalasPadam
  9. humaira': waalaikumussalam, sama-sama kita amalkan insyaAllah.

    BalasPadam
  10. sesungguhnya Allah bersama orang-orang yg sabar..
    syukran ustaz.artikel ini sedikit sebanyak membantu menyejukkan hati yg panas tatkala tidak mampu bersabar..

    BalasPadam
  11. PERMATA ISLAM: jazakillah khairan, moga diamalkan

    BalasPadam
  12. salam. saya nk amik artikel utk dimuatkn kt dlm majalah at-taufiq badar boleh x? kami kekurangan artikel..

    BalasPadam
  13. BADAR KISAS: silakan, moga bermanfaat

    BalasPadam
  14. jazakallah ust...sdg cuba mendidik hati utk bersabar ditakdirkn berjumpa dgn blog ini...sungguh bererti kalam Allah dan Rasul.

    BalasPadam
  15. Assalamualaikum ustaz. Saya minta izin share di facebook dan blog. Syukran.

    BalasPadam
  16. Mohd Afifuddin Md Jamil: jazakallahu khairan, moga mendapat ma'iyyatullah

    BalasPadam
  17. ruszainura ustati: waalaikumussalam, sila

    BalasPadam